UMPSA dan GUET China meterai perjanjian strategik teraju kolaborasi teknologi pintar serantau
KUALA LUMPUR, 10 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Guilin University of Electronic Technology (GUET), China, telah mengadakan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) yang menjadi pencetus kepada kerjasama penyelidikan teknologi pintar ruang-masa (spatiotemporal intelligent interconnection information technology) antara dua institusi.
Majlis pertukaran MoA itu telah berlangsung secara rasmi di Hotel Pullman, Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China, Lan Tianli.
Perjanjian strategik itu membawa kepada penubuhan Makmal Bersama Belt and Road dalam Teknologi Maklumat Perhubungan Pintar Spatiotemporal, sebagai platform kolaborasi penyelidikan berskala besar yang melibatkan sistem lokasi satelit, komunikasi digital, dan teknologi sambungan pintar.
Majlis ini turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LoI) berkaitan padanan geran penyelidikan berjumlah RMB 50,000, bagi menyokong projek-projek penyelidikan bersama antara UMPSA dan GUET.
UMPSA telah diwakili oleh Profesor Ts. Dr. Abdul Adam Abdullah, yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik, mewakili Naib Canselor UMPSA dalam majlis bersejarah ini.
Delegasi GUET diketuai oleh Penolong Presiden GUET merangkap Dekan Institut Penyelidikan Nanning, Profesor Dr. Sun Xiyan, dan Profesor Dr. Lan Rushi serta Profesor Madya Dr. Yan Suqing, pakar dalam bidang navigasi satelit dan teknologi komunikasi.
Usaha besar ini merupakan hasil inisiatif Profesor Ir. Ts. Dr. Kamarul Hawari Ghazali yang memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan penyelidikan berimpak tinggi antara UMPSA dan GUET, khususnya dalam kerangka kerjasama akademik dan industri serantau.
Disediakan Oleh: Nor Fadzillah Zulkipli, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)
Latest News
Most View Articles
- Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat hasilkan robotik canggih beri manfaat dalam bidang TVET
- UMPSA, Grab Malaysia meterai kerjasama sediakan akses pendidikan fleksibel untuk pekerja gig
- UMPSA dan GUET China meterai perjanjian strategik teraju kolaborasi teknologi pintar serantau
- Prof. Madya Dr. Mohd Mawardi guna LED hasilkan pembangunan fotokatalitik reaktor sebagai sumber cahaya putih (photon)