UMPSA, Grab Malaysia meterai kerjasama sediakan akses pendidikan fleksibel untuk pekerja gig

UMPSA, Grab Malaysia meterai kerjasama sediakan akses pendidikan fleksibel untuk pekerja gig

PEKAN, 11 Januari 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Grab Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari ini untuk memberi akses pendidikan dan latihan yang mampu meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi golongan pekerja gig.

Kerjasama ini sebagai langkah proaktif UMPSA dalam menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan pekerja gig, sejajar dengan evolusi landskap pekerjaan semasa yang semakin berubah dan mencabar. 

Majlis menyaksikan pertukaran MoU di antara Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Polisi Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah. 

Kerjasama strategik ini memberi peluang golongan pekerja yang aktif dalam ekonomi gig mengikuti program latihan dan pembangunan yang disediakan oleh UMPSA melalui kerjasama UMPSA Advanced iaitu merupakan sebuah anak syarikat UMPSA yang berpengalaman luas dalam program pengajian sepanjang hayat dan penyedia latihan yang telah berjaya melahirkan ribuan graduan dan pelatih.

 

Sebilangan daripada mereka tidak meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi disebabkan pelbagai faktor termasuk beban kewangan yang ditampung dan akhirnya mereka memilih laluan pekerjaan gig kerana ia mampu memberikan pulangan baik untuk mereka yang baharu memasuki alam dewasa.  

Berdasarkan pemerhatian, ekonomi tidak formal memainkan peranan penting dalam dunia hari ini. 

Sama ada kerja sambilan, freelance atau melalui platform, ia merupakan jaringan keselamatan yang memanfaatkan orang ramai sebagai sumber pendapatan isi rumah. 

Peluang bekerja dan belajar secara fleksibel merupakan salah satu aspek penting dalam membuka peluang pendapatan bagi kumpulan ini. 

Peluang ini membuka jalan bagi akreditasi pendidikan yang bermanfaat bagi pekerja gig untuk lebih peluang pekerjaan.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, keperluan untuk peningkatan kemahiran dalam kalangan golongan pekerja gig semakin mendapat penekanan di Malaysia, dan melalui kerjasama ini diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada perkembangan ekosistem ekonomi gig dalam negara. 

 

“Justeru, UMPSA dan anak syarikatnya, UMPSA Advanced akan berganding bahu untuk menawarkan kursus yang lebih fleksibel dan latihan berasaskan kompetensi kepada Grab Partners.

“Melalui kursus dan latihan yang bakal ditawarkan, golongan pekerja gig ini akan turut mendapat akses kepada kursus dan latihan yang lebih fleksibel melalui penawaran kursus dan latihan dalam bentuk micro-credentials bersesuaian dengan mereka yang tiada kelapangan waktu untuk mengikuti kursus atau latihan secara konvensional.

“Dengan kelayakan dan kompetensi yang diperoleh, golongan pekerja gig berpeluang mendapatkan pekerjaan yang boleh meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi. 

“Ini turut dijangkakan dapat memperkasakan kebolehpasaran mereka dan memberi sokongan kepada pertumbuhan pesat industri gig di Malaysia,” ujarnya.  

Tambah beliau lagi, kerjasama yang terjalin antara UMPSA dan Grab dapat membuka peluang jalinan kerjasama syarikat multinasional dan kepakaran universiti tempatan ke peringkat antarabangsa.   

“Saya percaya hubungan baik antara universiti dan industri boleh melonjakkan transformasi pendidikan ke arah lebih fleksibel sejajar dengan perubahan zaman, menangani jurang sosioekonomi, membina masyarakat yang lebih berdaya saing, sekaligus menyokong pembangunan negara madani,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi Ebi Azly, kerjasama dengan pihak UMPSA dalam memperkenalkan program dan kurikulum akademik yang fleksibel ini memberi peluang kepada rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab, mendapatkan akreditasi pendidikan tinggi ke arah peluang kerjaya yang lebih stabil bagi mereka.

“Kerjasama ini merupakan peluang bagi rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab di seluruh negara, untuk menyertai pelbagai program latihan dan pembangunan, yang disediakan oleh UMPSA melalui kerjasama dengan anak syarikatnya, UMPSA Advanced,” katanya. 

Malahan ini juga merupakan salah satu inisiatif Grab, di bawah program GrabBenefits. 

GrabBenefits adalah sebuah program yang bertujuan untuk memelihara kebajikan rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab yang diperkenalkan pada tahun 2017, dan sejak pelancarannya, GrabBenefits telah berkembang maju, dalam menyediakan pelbagai faedah kepada rakan-rakan pemandu dan penghantar membabitkan tiga teras utama, iaitu Perlindungan, Simpanan dan Akademi. 

Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Penolong Naib Canselor (Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced Sdn. Bhd., Dr. Ahmad Johari Mohamad dan Pengarah, Pusat Teknologi Industri Termaju, Ts. Dr. Nasrul Hadi Johari. 

 

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pekan, 4 Julai – Prihatin terhadap permasalahan dalam industri mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang menghasilkan Mini Heavy Loaded Forklift Autonomous Guided Vehicle (MHeLFAGV)

bagi menyelesaikan masalah untuk mengangkut penggulung besi yang beratnya antara 50 kg hingga 60 kg daripada stor kilang yang agak sempit ke bilik pemeriksaan dalam masa tidak lebih dari 20 minit.

Pada kebiasaannya industri tersebut menggunakan jentera forklift yang sesuai untuk mengangkat barang yang berat namun demikian  saiznya yang agak besar  tidak sesuai untuk mengangkat muatan di dalam stor yang mempunyai luas yang terhad dan sempit.      

Ketua Penyelidik yang merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Ir. Dr. Addie Irawan Hashim berkata, idea penghasilan produk bermula apabila pihak Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd  (VAC) telah menjemput pihaknya  untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah mereka.

Justeru bermula perbincangan dan pembangunan MHeLFAGV mengikut kehendak industri. Penyelidikan bermula sejak 2014 bersama  bersama rakannya, Ir Dr. Akhtar Razul dan idea ciptaan ini mendapat cetusan daripada Pengurus Besar, Vacuumschmelze (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Arif  Zakaria  dan siap pada tahun lalu.

Bagi Ir. Dr. Addie yang merupakan anak kelahiran Pahang ini berkata, produk ini direkabentuk dengan mekanisma pick-and-swallow yang mana penggulung besi yang berat akan dimasukkan ke dalam mesin sebelum bergerak ke tempat yang hendak dituju untuk keseimbangan semasa bergerak.

“Ianya satu kelainan berbanding jentera forklift standard yang berada di pasaran. Selain itu, dengan penggunaan tayar omni yang dinamakan mecanum wheel, membolehkan mesin ini bergerak pelbagai arah dan berpusing setempat tanpa mengambil jarak yang lebih terutama dalam mengambil pusingan untuk memasuki sesuatu lorong,” katanya.

Selain itu, MHeLFAGV ini juga mudah untuk bergerak di kawasan sempit dan kurang keberangkalian untuk berlaku kemalangan seperti bergesel dengan dinding bersebelahan atau tersekat.

Beliau berharap pihak industri berpuas hati dengan hasil inovasi ini dan mampu memudahkan pekerja mereka bagi mengangkat penggulung besi di kawasan stor atau inventori di VAC, Pekan. 

Pada masa yang sama kedua-dua pihak merancang untuk mendapatkan dana bagi menambahbaik fungsi MHeLFAGV untuk lebih automotik. 

Ujarnya, pelan penambahbaikan adalah pada proses pengangkutan yang lebih cepat dengan sistem automatik yang berteraskan pemprosesan imej & artificial intelligent termasuklah mekanisma mekanikal yang unik.  Dalam pada itu, rekabentuk robot ini dapat diperluaskan, ditambah baik dan dipasarkan untuk aplikasi-aplikasi pengangkutan lain yang sesuai dalam pelbagai versi.


Print   Email